Guan Eng perlu jelaskan jual tanah Bayan Mutiara
NIBONG TEBAL 10 Feb. - UMNO Pulau Pinang hari ini meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi penjelasan secara terbuka mengenai isu penjualan tanah seluas 41.6 hektar kepada sebuah syarikat swasta dengan harga RM1.1 bilion.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Guan Eng juga harus memberikan alasan kenapa tanah tebusguna yang luas itu tidak dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang merupakan pemilik tanah itu sendiri.
Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata, adalah menghairankan kenapa tanah itu dijual sedangkan PDC mempunyai kepakaran serta pengalaman dan telah menjalankan banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
Tanah yang dianggap sebagai bernilai amat tinggi di Bayan Mutiara adalah kawasan paling strategik kerana berdekatan dengan Jambatan Pulau Pinang, Zon Perdagangan Bebas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
"Bagi pentadbiran yang mendakwa sebagai mesra rakyat, (adalah) menghairankan tidak ada perundingan awam untuk melibatkan pihak yang berkepentingan sebelum menjual tanah milik kerajaan itu," katanya.
Zainal Abidin berkata, kerajaan negeri juga seolah-olah terburu-buru membuat keputusan untuk menjual tanah itu tanpa membuat penilaian harga tanah untuk jangka panjang.
Jika tanah itu dimajukan secara berperingkat, beliau berkata harganya akan melambung sehingga RM10 bilion tetapi kerajaan telah membuat keputusan kurang bijak apabila menjualnya dengan harga RM1.1 bilion dan memberi keistimewaan kepada syarikat berkenaan untuk membayarnya secara berperingkat sehingga lima tahun.
Beliau berkata, kaedah jual-beli itu menguntungkan syarikat berkenaan kerana tanah itu akan dimajukan secara berperingkat dan pemaju hanya perlu membayar kepada kerajaan negeri secara berperingkat juga.
"Secara mudahnya, setelah mendapat duit daripada pembeli bangunan yang dimajukannya dan nilai hartanah itu pula akan terus meningkat," katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment